Thursday 22 August 2013

Mengikuti Gadis Melayu di TV9 membuatkan saya terfikir “What makes a Gadis Melayu?” Semua finalis rancangan tersebut cantik-cantik belaka. Belum dicemari susuk dan kosmetik harapnya. Namun kecantikan bukanlah kayu ukuran untuk mencari Gadis Melayu yang ideal. Finalis rancangan tersebut diuji dari segi dandanan diri, pengetahuan mereka tentang adat dan resam Melayu, pembawakan diri dan pengetahuan dan cara menjawab soalan (yg sekali-sekala pedas). Tujuan rancangan ini bagus, bagi mengajar anak-anak gadis di luar sana, untuk kembali kepada keayuan dan kesopanan. TV9 menetapkan ciri-ciri berikut agar seseorang boleh dipilih untuk mengikuti rancangan Gadis Melayu:

1. Memelihara ciri-ciri, sifat-sifat dan adat resam yang dapat menyerlahkan kehalusan serta keistimewaan gadis Melayu
2. Mempertahankan jati diri dalam arus kemodenan.

Namun, di sini saya ada persoalan utama, sejauh manakah gadis-gadis Melayu ini menepati ciri-ciri Gadis Melayu yang ideal?
Yang paling utama, wajahnya haruslah bersih. Kecantikan gadis Melayu itu haruslah asli. Wajahnya bersih menggambarkan hatinya yang baik. Diserikan dengan air wuduk yang penuh barokah. Pernah juri (Dato’ Dr. Nik Safiah Karim) menyoal lebih kurang begini “Pada zaman moden ini, pemakaian mekap semakin meluas. Apakah pendapat saudari tentang pemakaian mekap pada zaman ini?”. Alhamdulillah, si finalis yang menjawab soalan ini berjaya mendapat hadiah dalam episod tersebut. Menurut beliau, pemakaian mekap itu bukanlah yang utama dan hanya dipakai jika diperlukan.
gadis melayu
Gambar penuh boleh diperolehi dari Hafreze.com
Seterusnya, dari segi akhlak, seorang gadis Melayu itu menunjukkan akhlak yang baik dan menyejukkan hati. Senyumannya menyejukkan hati yang sedang dalam amarah. Cantiknya bukan sekadar pada fizikal, namun dari segi emosi. Seorang gadis Melayu haruslah mempunyai nilai moral yang tinggi, teguh agamanya dan cantik akhlaknya. Ini kerana gadis Melayu itu penuh dengan tingkah lakunya yang lemah-lembut, berbudi bahasa, sopan-santun dan baik hati. Keayuan itu akan terpancar dari akhlaknya yang cantik dan hati yang ikhlas. Keayuan itu tidak boleh dibuat-buat namun boleh diteladani.
Adat resam Melayu, protokol adat-istiadat dan budaya Melayu sewajarnya menjadi pegangan dalam rutin seharian si gadis. Baju kurung merupakan pakaian rasmi, diserikan lagi dengan tutur kata yang lemah lembut lagi halus. Segala pekerjaan harian dilakukan dengan penuh ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan. Dari memasak, melipat kain, mengemas rumah dan menyapu, semuanya dilakukan dengan teratur dan cermat. Budaya Melayu seperti menenun songket, mengaji Al-Quran, berpantun, berseloka, diamalkan dalam kehidupan seharian agar kesantunan dan tradisi “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan”. Gadis Melayu bangga mendukung nilai-nilai tradisi walaupun dalam arus kemodenan.
Pembawakan diri di dalam majlis keramaian merupakan salah satu ujian buat para finalis. Seorang gadis itu haruslah tahu bagaimana untuk menegur sapa, menghormati orang yang berpangkat dan lebih tua, dan menyusun tutur kata. Pengetahuan tentang majlis formal dan keraian adalah penting, agar si gadis tidak canggung untuk bergaul dengan sesiapa sahaja.
Secara kesimpulannya, seorang gadis Melayu yang ideal, bukan sahaja cantik, lemah lembut dan pandai dalam sains rumahtangga. Namun, yang utama ialah peribadinya yang anggun, jati diri agama dan bangsanya yang tegas dan juga pandai dalam menyesuaikan diri dalam pergaulan seharian. Diharapkan, rancangan ini akan mengembalikan semula kegemilangan warisan Melayu yang penuh tatasusila dan dan menggalakkan gadis-gadis Melayu mengangkat kembali harga diri mereka.
- See more at: http://qalamun.com/2008/11/24/gadis-melayu-dan-kesopanannya#sthash.zF7357mx.dpuf

No comments:

Post a Comment